Diriwayatkan
Oleh Mujahid: “nabi daud as. menangis selama 40 hari dalam sujud tanpa
mengangkat kepala sehingga tumbuh lumut-lumut dari titisan air matanya, beliau
juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah dilakukannya.” Lalu
kedengaran suara yang berkata: “Wahai Daud, apakah kamu lapar, kalau kamu lapar
kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu
tiada pakaian kamu akan diberi pakaian.” Apabila Nabi
Daud mendengar suara itu maka beliau pun memekik dengan pekikkan yang sungguh
kuat sehingga kayu yang basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan
takutnya kayu itu.
Kemudian Allah SWT menerima taubat Nabi
Daud, lalu Nabi Daud berdoa: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam
tapak tanganku.” Maka tertulislah kesalahan Nabi Daud ditapak tangannya. Nabi
Daud tidak membuka tapak tangannya walaupun ketika hendak makan, minum atau
untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi Daud melihat kesalahan yang tertulis di
tangannya beliau akan menangis.”
Mujahid meneruskan ceritanya lagi:
“Dibawakan kepada Nabi Daud gelas yang mengandungi 2/3 air untuk diminum,
apabila Nabi Daud meletakkan gelas pada bibirnya maka terpandanglah beliau akan
kesalahan yang tercatit di tangan beliau. Lalu menangislah Nabi Daud sehingga
gelas tadi dipenuhi dengan air matanya.”
Diriwayatkan bahawa Nabi Daud tidak
mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah
kerana malunya beliau kepada, Allah SWT.
Dalam munajatnya Nabi Daud as. pada Allah
SWT, beliau berkata: “Wahai Tuhanku! Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka
sempitlah bumi ini bagiku. Apabila aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah
nyawaku. Mahasuci Engkau wahai Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau
untuk mengubati kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka
celakalah bagi orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau.”
Pada suatu hari Nabi Daud telah mengingati
dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu
berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas
mengadapnya. Berkata Nabi Daud as. pada binatang-binatang itu: “Baliklah kamu
semua, aku tidak memerlukan kamu semua. Sesungguhnya yang aku kehendaki ialah,
setiap orang hendaklah menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang
melakukan kesalahan pada Allah hendaklah menangis.”
Berkata Nabi Daud as. “Tinggalkan aku, biar
aku menagis sebelum hari tangisan. Sebelum datang hari di mana tulang-belulang
aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan sebelum disuruh kepadaku oleh para
malaikat yang bersikap kasar dan keras. Mereka itu tidak sekali-kali
menderhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah
ke atas mereka.”
Abdul Aziz bin Umar berkata: “Ketika Nabi
Daud as. telah membuat kesalahan maka kuranglah merdu suaranya, lalu beliau
berdoa: “Wahai Tuhanku! Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang
shiddiq.”
Dikisahkan
bahawa apabila Nabi Daud telah lama benar menangis, tangisannya itu tidak
mendatangkan faedah, maka sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah
hatinya. Kemudian beliau berdoa: “Wahai Tuhanku! Apakah Engkau tidak
mengasihani akan tangisanku?”
Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Kamu
lupa akan dosa kamu dan kamu ingatkan tangisanmu itu.”
Berkata Nabi
Daud as. “Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak aku lupakan dosaku
apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air yang mengalir dari
mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi atas kepalaku. Aku
menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku. Wahai Tuhanku dan
Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antaraku dengan Engkau?”
Kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai Daud!
Itu adalah kejinakkan taat dan ini keliaran maksiat Wahai Daud! Adam itu
makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan dia dengan tangan (kekuasaan) Ku, Aku
hembuskan padanya rohKu dan Aku suruh para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan
mahkota kemuliaanKu Adam mengadu kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku
kahwinkan dia dengan Hawa hamba wanitaKu dan aku tempatkan dia dalam syurgaKu.
Setelah itu dia telah berbuat maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari
tetanggaKu dengan tidak berpakaian (telanjang) dan hina. Wahai Daud! Dengarlah
dari Aku yang benar Aku firmankan, engkau minta kepada Kami, Kami berikan
kepada engkau. Engkau berbuat maksiat kepada Kami, kami perlambat-lambatkan
kepada engkau. Dan kalau engkau kembali kepada Kami nescaya Kami terima
engkau.”
Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Daud
hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan akan
keluar beliau ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru
kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukau, gunung-ganang dan di mana
sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Daud as.
Setelah nabi Sulaman as. menyampaikan
berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang
menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk.
Kemudian Nabi Daud naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil
(kaum Yahudi).
Lalu Nabi Daud as. memuji Allah SWT.
Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi
Daud as. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja
tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang
menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Daud as.
menceritakan tentang huru-hara hari kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di
masa itu matilah segolongan makhluk Allah.
Apabila nabi Sulaiman as. melihat terlampau
banyaknya yang mati maka beliaupun berkata: “Wahai ayahku! Ayah telah
membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah banyak yang mati
terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang.”
Kemudian Nabi Daud as. pun berdoa, dalam
waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang hamba dari Bani Israil
berkata: “Wahai Daud! Kamu terlalu cepat sangat meminta balasan dari Tuhanmu.”
Apabila Nabi Daud as. mendengar kata-kata
hamba itu maka beliaupun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman yang
menyaksikan peristiwa itu berkata: “Ketahuilah sesiapa yang berteman atau
berkeluarga dengan Daud as. hendaklah mereka itu membawa Nabi Daud ke tempat
tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama Daud as. itu telah mati
disebabkan Nabi Daud menceritakan kepada mereka tentang syurga dan neraka.
Setelah Nabi Daud as. sedar dari
pengsannya, beliau bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala.
Kemudian beliau masuk ke rumah tempat ia beribadah dan dikuncinya dari dalam
dan beliau pun berdoa: “Ya Tuhanku! Adakah Engkau marah kepada-ku?” Begitulah
Nabi Daud as. sentiasa bermunajat kepada Allah SWT.
Nabi Sulaiman
datang menghampiri rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk.
Setelah Nabi Daud as. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman membawa
bersamanya roti untuk ayahnya.
Berkata Nabi Sulaiman: “Wahai ayahku,
makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan kesihatan ayah.”Pada suatu
hari Nabi Daud memberikan ceramahnya pada orang ramai, beliau banyak memberi
nasihat supaya takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah
terdapat 40,000 orang yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar
itu berasa cukup takut kepada Allah SWT maka 30,000 orang dari seramai 40,000
itu telah mati disebabkan takutnya mereka kepada Allah SWT. Akhirnya yang
pulang bersama Nabi Daud as. cuma 10,000 orang sahaja.
Dikisahkan bahawa Nabi Daud ada dua orang
hamba perempuan, apabila Nabi Daud merasa takut kepada Allah SWT maka kedua
hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Daud, ini adalah kerana
khuatir anggota Nabi Daud akan cerai-berai oleh kerana takutnya ia kepada Allah
SWT.
No comments:
Post a Comment